Monday, July 25, 2011

SAMBUTAN NISFU SYA’BAN (FATWA MUFTI MESIR)

Mufti Mesir; Syeikh Prof Dr. Ali Juma’ah Muhammad
Terjemahan; Ustaz Ahmad Adnan Fadzil

Soalan; Apa hukum menyambut Nisfu Sya’ban dengan mengadakan majlis bacaan Yasin, ceramah dan berpuasa besoknya? (Soalan diringkaskan dari soalan asal yang panjang)

Jawapan;

1. Malam Nisfu Sya’ban adalah malam yang diberkati. Kelebihannya disebut oleh banyak hadis yang saling menguatkan antara satu sama lain mengangkat darjahnya kepada hasan dan kuat. Oleh itu, memberi perhatian kepada malam itu dan menghidupkannya merupakan tanda kecintaan kepada agama tanpa diragui lagi. Ini setelah kita mengenepikan hadis-hadis yang dhaif atau maudhuk berkenaan kelebihan malam tersebut.

Di antara hadis-hadis yang ada bagi kelebihan malam tersebut;

A) Hadis dari Ummul Mukminin Aisyah r.a. yang menceritakan; Suatu malam aku mendapati Rasulullah tiada bersamaku, lalu aku keluar mencari beliau. Aku menemuinya di perkuburan al-Baqi’ sedang mendongak kepalanya ke langit, lalu baginda berkata kepadaku; “Wahai Aisyah, apakah kamu khuatir Allah dan RasulNya akan menganiayai kamu”. Aku menjawab; “Aku tidak rasa begitu, akan tetapi aku mengangka kamu keluar ke rumah isteri kamu yang lain”. Lalu Nabi bersabda; “Sesungguhnya pada malam Nisfu Sya’ban Allah Taala turun ke langit dunia, lalu Dia mengampunkan hambanya lebih ramai dari bilangan bulu kambing milik kabilah Kalb (*Kabilah al-Kalbi; satu kabilah di kalangan orang Arab yang paling banyak membela kambing) (HR Imam at-Tirmizi, Ibnu Majah dan Ahmad).

B) Hadis dari Mu’az bin Jabal yang menceritakan; Nabi s.a.w. Bersabda; “Pada malam nisfu Sya’ban, Allah melihat kepada sekelian makhlukNya. Lalu Dia mengampunkan ke semua mereka kecuali orang musyrik dan orang yang bermusuh dengan saudara seagama” (HR Imam at-Thabrani dan disahihkan oleh Ibnu Hibban).

C) Hadis dari Ali bin Thalib r.a. yang menceritakan; Nabi bersabda; “Bila tiba malam Nisfu Sya’ban, bangunlah menghidupkan malamnya dan berpuasalah pada siangnya kerana sesungguhnya Allah turun pada malam itu ke langit dunia bermula dari saat terbenam matahari dan Allah berkata; Tiadakah orang yang memohon ampun untuk Aku ampuninya. Tiadakah orang yang memohon rezki untuk aku beri rezki kepadanya. Tiadakah yang ditimpa bala, untuk aku beri keselamatan untuknya. Tiadakah orang yang melakukan demikian dan demikian…hinggalah terbit fajar”. (HR Imam Ibnu Majah)

Tidak menjadi halangan untuk membaca Yasin sebanyak 3 kali selepas solat Maghrib secara beramai-ramai kerana ia masuk dalam pengertian menghidupkan malam tersebut. Dalam perkara zikir, Syariat memberi keluasan kepada umat Islam. Mengkhaskan beberapa tempat tertentu dan masa-masa tertentu untuk beramal soleh secara berterusan merupakan suatu yang masyru’ (disyariatkan) selama pelakunya tidak mengiktiqadkan ia adalah kewajipan Syariat yang berdosa siapa meninggalkannya. Diriwayatkan dari Abdullah bin Umar r.a. yang menceritakan; “Rasulullah s.a.w. mengunjungi masjid Quba pada setiap hari Sabtu dengan berjalan kaki dan menunggang kenderaan” (HR Imam al-Bukhari dan Muslim). berkata Imam Ibnu Hajar dalam kitabnya Fathul-Bari; “Hadis ini dengan pelbagai jalannya menunjukkan keharusan mengkhususkan hari-hari tertentu untuk melakukan amal-amal soleh tertentu dan berterusan melakukannya”.

Berkata Imam Ibnu Rejab dalam kitabnya Lataif al-Maarif; Para ulamak dari kalangan penduduk Syam berbeza pandangan pada cara menghidupkan malam Nisfu Sya’ban itu dengan dua pendapat;

1. Pandangan pertama; Digalakkan menghidupkannya secara berjamaah di masjid, di mana Khalid bin Ma’dan (seorang Tabi’in), Luqman bin ‘Amir (seorang Tabi’in juga) dan beberapa ulamak lagi pada malam itu mereka akan memakai pakaian yang paling elok, berwangian dan bercelak dan menuju ke masjib untuk beribadah bagi menghidupkan malam tersebut. Imam Ishaq bin Rahawaih (dari kalangan Tabi’ Tabiin) turut menyetujui mereka dan ia berkata tentang menghidupkan malam Nisfu Sya’ban secarabberjamaah di masjid; “Ia tidaklah bid’ah”. Dinaqalkan darinya oleh Harb al-Kirmani dalam kitabnya al-Masail.

2. Pandangan kedua: Dimakruhkan berhimpun di masjid-masjid untuk mengerjakan solat, mendengar kisah-kisah dan berdoa, tetapi tidak makruh jika mengerjakan solat pada malam tersebut di masjid secara bersendirian. Pandangan ini merupakan pegangan Imam al-Auza’ie (Tabi’in).

Dari itu, menghidupkan malam Nisfu Sya’ban dengan cara yang disebutkan tadi adalah disyariatkan, bukan bid’ah dan tidak dimakruhkan, dengan syarat ia dikerjakan bukan atas dasar kemestian dan kewajipan. Sekiranya ia dikerjakan dengan cara memestikan orang lain dan menganggap berdosa sesiapa yang tidak bersama mengerjakannya, pada ketika itu ia menjadi bid’ah kerana mewajibkan sesuatu yang tidak pernah diwajibkan oleh Allah dan RasulNya. Inilah yang dimaksudkan oleh sebahagian ulamak Salaf yang memakruhkan amalan menghidupkan malam Nisfu Sya’ban secara berjamaah itu (yakni kerana mereka khuatir akan dianggap wajib oleh masyarakat). Maka jika tidak dianggap wajib, tidaklah dimakruhkan.

Wallahu -subhanahu wa taala- a’lam.

Thursday, June 2, 2011

[Design] Asas Amalan Dunia dan Akhirat


0

Rasulullah s.a.w bersabda : "Sesungguhnya Malaikat-malaikat sentiasa menurunkan sayapnya (sebagai memuliakan dan menghormati) penuntut ilmu agama, kerana mereka suka dan bersetuju dengan apa yang penuntut itu lakukan". (Riwayat Abu ad-Darda' r.a)

Penuntut ilmu agama adalah bakal muballigh (penyampai maklumat) Islam, maka merekalah yang akan menyebarkan agama Allah sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah kepada rasul-Nya. Menuntut ilmu agama adalah tidak tertentu kepada satu-satu golongan sahaja melainkan ia adalah wajib dituntut oleh setiap orang Islam demi menjamin kehidupan yang sempurna di dunia dan akhirat. Kita selaku umat Islam dilarang memperlekehkan golongan alim ulama' dan penuntut ilmu agama ini kerana Rasulullah s.a.w menyatakan bahawa para malaikat sendiri seluruhnya memberikan penghormatan yang tinggi kepada mereka disebabkan kemuliaan ilmu yang dituntut itu.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya : "Siapa yang keluar untuk menuntut ilmu maka ia berjuang fisabilillah hingga ia kembali". (Riwayat At-Tarmizi dan Ad-Darimi)

Ilmu ialah mengetahui tentang sesuatu perkara di mana perkara yang boleh diketahui itu bergantung pada kemampuan dan usaha yang dilakukan oleh seseorang itu. Menuntut ilmu merupakan suatu jihad yang dituntut oleh Islam ke atas setiap penganutnya. Ia menjadikan seseorang itu menduduki martabat yang tinggi berbanding dengan orang yang tidak berilmu. Oleh itu selaku umat Islam kita hendaklah berusaha untuk menambahkan ilmu masing-masing dari semasa ke semasa termasuklah ilmu yang berkaitan dengan Islam kerana darjatnya lebih tinggi di sisi Allah. Malah salah satu daripada petanda ilmu yang berkat itu adalah apabila seseorang itu dengan bertambah ilmunya semakin mulia akhlaknya dan semakin bertakwa dia kepada Allah S.W.T.

SANTAI...